Tuesday 27 September 2011

SMK Methodist Tanjong Malim


Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist Tanjong Malim (SMK Methodist) dirasmikan oleh YB Menteri Besar Perak pada 14 November 1951. Sekolah ini mempunyai sejarah penubuhannya yang tersendiri. Bermula dengan tempat belajar di sebuah banglo milik sepasang suami isteri, kemudian menjadi Sekolah Anglo Chinese apabila diserahkan kepada Gereja Methodist, sehinggalah pembelajaran terhenti apabila sekolah ini dibom tentera Jepun dan dibuka semula pada 1945 dengan nama Sekolah Inggeris Anglo Chinese. Pada tahun 1948, sekolah ini bergabung dengan Sekolah Inggeris Victory lalu diberikan nama baharu, iaitu Sekolah Methodist (Persendirian) seterusnya diberikan ‘grant’, yakni bantuan modal oleh pihak kerajaan lalu diberikan nama baharu sekali lagi, iaitu ‘Methodist English School’ (MES).

Sejak penubuhannya, SMK Methodist menjadi pilihan masyarakat setempat disebabkan kedudukannya yang amat strategik, iaitu berdekatan dengan pekan kecil Tanjong Malim, institusi keagamaan, balai polis, pejabat pos, balai bomba dan hospital Tanjong Malim (kini menjadi Klinik Kesihatan Tanjong Malim) serta berhadapan dengan Sultan Idris Training College (SITC) yang kini bertukar status menjadi Universiti Pendidikan Sultan Idris.  SMK Methodist sering mengambil peluang akan kelebihan ini, iaitu menjalin hubungan erat dengan institusi dan komuniti setempat. Kerjasama pintar ini merupakan satu faktor kritikal yang menyokong kejayaan dan kecemerlangan sekolah ini.Melalui kepimpinan empat belas pengetua, sekolah ini telah melakar banyak kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum.  Pencapaian PMR dan SPM daripada segi kualiti dan kuantiti kian meningkat setiap tahun, malah mendapat penghargaan daripada ‘stakeholder’.  Pencapaian kokurikulum turut membanggakan apabila sekolah ini mula menempa nama di peringkat antarabangsa. Walaupun prasarana sekolah ini tidak sehebat sekolah-sekolah lain namun, kekurangan yang ada tidak pernah menjejaskan semangat dan kekuatan para pendidik dan murid-murid sekolah ini untuk terus mencipta kejayaan dan kecemerlangan kerana kekurangan itulah sebenarnya kelebihan MES.

No comments:

Post a Comment